-->

Mahkamah sahkan lelaki dakwa ‘dimadukan’ oleh isterinya, masih sah sebagai suami isteri

Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah mengesahkan lelaki yang mendakwa telah dimadukan oleh isterinya, masih lagi kekal sebagai suami isteri yang sah.

Hakim Ahmad Hariri Mohd Saat berkata, keputusan itu dibuat selepas Rahaman Mohamed Jaafar, 47, membuat sumpah penafian yang dirinya tidak pernah sesekali melafazkan cerai terhadap isterinya, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32.

Rahaman meluahkan rasa bersyukur dengan keputusan itu dan menegaskan dia tidak akan melepaskan isterinya itu kerana masih ada rasa sayang terhadapnya.

“Alhamdulillah, saya berani bersumpah kerana saya tidak pernah melafazkan cerai talak tiga sebagaimana yang didakwa isteri.

“Sehingga kini saya masih sayangkan isteri kedua saya dengan apa yang dia lakukan terhadap saya sehingga berkahwin dengan lelaki lain.

“Walaupun isteri ada memfailkan cerai, saya tidak akan melepaskannya kerana sayang saya terhadap dia masih kuat,” katanya.

Menurut laporan media, pasangan itu bernikah pada 2 Januari 2019 di Narathiwat, Thailand dan telah disahkan mengikut hukum syarak pada 6 Jun lalu. Pernikahan mereka juga telah didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Bagaimanapun, Rahaman mendapat maklumat daripada pihak Pejabat Agama Shah Alam, Putrajaya bahawa WAn Nor Shakirin telah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain, Mohd KKamarulazhar Ayob, 42.

Susulan itu, Rahaman melalui peguam syarie, Marzuqi Muhamad pada 5 Julai telah memfailkan tuntutan faraq (pemisahan) nikah terhadap Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

7 Ogos lalu, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara terhadap perkahwinan Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Rahaman dan Wan Nor Shakirin selesai, sebelum meneruskan semula kes tuntutan faraq nikah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

The post Mahkamah sahkan lelaki dakwa ‘dimadukan’ oleh isterinya, masih sah sebagai suami isteri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar