-->

Lelaki Bangladesh bunuh, kerat mayat isteri kepada 6 bahagian sebelum campak tepi Sg. Gombak, dipenjara 20 tahun

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap seorang lelaki warga Bangladesh yang didapati bersalah kerana membunuh dan mengerat isterinya kepada enam bahagian.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan di mana kepalanya dipenggal dan badannya dikerat serta disumbat dalam dua bagasi. Bagasi tersebut kemudian dicampak di tepi Sungai Gombak berhampiran Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebelum ditemui oleh orang awam.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan hukuman penjara itu dikekalkan terhadap tertuduh, Md. Shahzada Saju, 42, selepas menolak rayuannya terhadap hukuman.

Md Shahzada Saju dan isterinya, Sajeda-E Bulbul

Ketiga-tiga hakim berkenaan berpuas hati dan menjelaskan hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan semasa menjatuhkan hukuman tersebut. Malah, tempoh hukuman penjara yang dikenakan itu tidak keterlaluan.

5 Julai 2018, negara digemparkan dengan penemuan dua bagasi yang mengandungi mayat mangsa. Bagasi berkenaan ditemui oleh seorang lelaki yang ternampak kaki terkeluar dari bagasi tersebut.

Susulan penemuan mayat itu, polis telah menahan lelaki terbabit berdasarkan pemeriksaan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian. Ketika itu, saspek sedang menarik beg berkenaan sebelum dibuang ke lokasi.

7 Ogos 2018, Md. Shahzada, 29, didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Sajeda-E Bulbul, 30, pada awal pagi 3 Julai 2018 di bilik di tingkat empat rumah kedai di Jalan Segambut, Kuala Lumpur.

Difahamkan, Md Shahzada dan Sajeda-E sudah berkahwin di Bangladesh dan mempunyai anak di kampung halaman.

Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro

The post Lelaki Bangladesh bunuh, kerat mayat isteri kepada 6 bahagian sebelum campak tepi Sg. Gombak, dipenjara 20 tahun appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar