-->

Kenakan banyak peraturan ketika perhimpunan, Dr. Musa mohon maaf & tegaskan peraturan dibuat selaras dengan arahan PDRM

Ahad lalu, satu perhimpunan aman Freedom for Palestine telah dianjurkan di Dataran Merdeka oleh sebuah NGO, Viva Palestina Malaysia (VPM).

Bagaimanapun, peserta-peserta pada perhimpunan tersebut meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan penganjuran pihak berkenaan yang dikatakan banyak mengenakan peraturan yang dianggap tidak munasabah seperti melarang pemaparan sepanduk Presiden Israel Benjamin Nentayahu.

Susulan itu, dalam satu kenyataan di platform X, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin memohon maaf atas apa yang berlaku

Katanya, peraturan yang diambil oleh pihak penganjur adalah selaras dengan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

“PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk mengambil tindakan pantas terhadap ucapan kebencian, poster dan ejen provokator yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan kemanusiaan dan aman kami.

“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami,” katanya.

Sementara itu, Musa menegaskan tidak timbul sebarang isu mengenai laungan takbir ‘Allahu Akbar’

Ini kerana Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Nurul Izzah Anwar turut melaungkan takbir ketika berucap.

“Isu takbir bukan isu, Nurul Izzah dan Badlishah bertakbir ketika berucap. Ramai yang bertakbir yang kami tidak hentikan.

“MC (juru acara) hanya mengingatkan bahawa ini adalah perhimpunan berbilang agama dan kita patut membuat nyanyian yang semua orang boleh sertai,” katanya.

Sumber: Dr Musa Mohd Nordin, Malaysia Gazette

The post Kenakan banyak peraturan ketika perhimpunan, Dr. Musa mohon maaf & tegaskan peraturan dibuat selaras dengan arahan PDRM appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar