-->

‘Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun’ – Jiggy enggan layan komen negatif terhadap pemakaian Dhabitah

Gandingan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong, memperoleh pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou.

Dalam acara 10m platform seirama akhir wanita itu, gandingan negara itu mencatatkan 266.94 mata selepas lima terjunan.

Apabila menyentuh isu pemakaian renang semasa sukan itu berlangsung, sudah pastinya pandangan negatif dilemparkan kepada mereka. Lebih-lebih lagi kepada Nur Dhabitah yang merupakan isteri kepada seorang pelakon, pelawak dan pengacara, Jiggy.

Walau bagaimanapun, Jiggy menyatakan dia ada berbincang dengan Nur Dhabitah mengenai ketidakselesaan isterinya mengenakan pakaian renang sewaktu beraksi. Dan dipertontonkan kepada umum sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

Jiggy berkata, isterinya ada memaklumkan kepadanya jika ada pihak keluarkan satu format pakaian baru untuk menutup aurat, Dhabitah sendiri akan menyokong dan memakainya.

“Sebelum kahwin dia sudah ajak saya berbincang banyak perkara termasuk isu pemakaiannya dalam sukan terjun.

“Sebelum kami ambil keputusan berkahwin, dia minta izin terlebih dulu untuk terus aktif sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Namun, jika dia tidak diperlukan, dia akan berhenti awal. Tapi memandangkan pelapis baru pun masih dalam proses pencarian lagi, jadi dia masih berkhidmat,” katanya.

Komen negatif

Jiggy berkata, buat masa ini dia enggan melayani segala komen negatif terhadap pemakaian isterinya yang kini beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China.

Namun begitu, sebagai suami dia sentiasa menyokong dan memahami etika pemakaian isterinya yang perlu berpakaian baju renang sewaktu latihan atau perlawanan.

“Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun. Kalau orang lain nak bercakap, saya tak boleh buat apa kerana mereka akan tetap mencari salah.

“Selagi dia masih diperlukan untuk berkhidmat demi negara, saya akan sentiasa menyokong dan faham situasinya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun’ – Jiggy enggan layan komen negatif terhadap pemakaian Dhabitah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar