-->

‘Gaji bersih RM1,500, boleh anda hidup begitu di Kuala Lumpur?’ – Pengarah JSJ Bukit Aman sifatkan tangga gaji anggota polis di tahap menyedihkan


Saban tahun timbul isu mengenai jumlah pendapatan yang diperoleh oleh badan beruniform seperti anggota polis dan sebagainya. 

Pendapatan yang diperolehi diistilahkan sebagai sekadar cukup makan, apatah lagi tinggal di bandar-bandar besar.

Situasi tersebut amat difahami oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang menyifatkan tangga gaji anggota berada pada tahap yang menyedihkan.

“Apabila mereka masuk tandatangan sebagai rekrut Konstabel, tangga gaji mereka, RM1,441.00. Dan apabila dia tamat latihan, keluar rekrut konstabel, mereka dapat gaji bersama elaun sebanyak RM1,800.00 dan bawa balik gaji bersih RM1,500.

“Boleh anda hidup di Kuala Lumpur dengan jumlah gaji sebegitu? Itu tidak mengambil kira lagi kos biaya penyakit, anak istimewa (OKU), biaya hospital sehingga ada yang mendapatkan rawatan tiga kali seminggu.

“Ketua atau penyelia, sila ambil tahu dan kenal pasti anggota yang mengalami nasib sebegini dalam apa juga keadaan, sekiranya Tuan boleh bantu maka bantulah,” katanya.

Beliau juga  berkata, selain masalah anggota kategori miskin atau B40, terdapat juga pegawai atau anggota yang sanggup menolak kenaikan pangkat kerana tidak mahu berpindah ke tempat tugas baharu yang mungkin akan lebih membebankan keluarganya yang mengalami pelbagai jenis penyakit.

“Ada anggota datang jumpa saya beritahu,

“Datuk saya terpaksa tolak kenaikan pangkat saya sebab isteri saya lumpuh, anak saya seorang umur 21 tahun dan seorang lagi 20 tahun dan kedua-dua mereka mengalami penyakit ‘Cerebral Palsy’. Setiap pagi saya kena angkat mereka untuk bersihkan, pakaikan baju dan siapkan segala keperluan mereka sebelum saya keluar bekerja.

“Katanya, walaupun dalam keadaan begitu, isteri saya berusaha masak nasi lemak dan saya tolong jualkan di sini (tempat kerja) elaun saya keluar untuk kerja adalah untuk pembiayaan perubatan dan saya ada masa untuk anak-anak, sekiranya ditukarkan tugas, saya tak boleh membahagikan masa saya”.

Beliau berkata, sebagai seorang ayah dan suami, belum tentu kita dapat melaksanakan tanggungjawab seperti anggota berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut menyatakan komitmennya sebagai seorang Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah untuk menyelesaikan segala masalah logistik yang dihadapi jabatannya termasuk masalah kebajikan meskipun modal dan aset JSJ berada pada tahap yang amat menyedihkan.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Gaji bersih RM1,500, boleh anda hidup begitu di Kuala Lumpur?’ – Pengarah JSJ Bukit Aman sifatkan tangga gaji anggota polis di tahap menyedihkan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar