-->

‘Filem Pagari Bulan dapat maklum balas positif dari orang ramai, tapi kutipan sangat teruk’ – Pengarah filem luah rasa kecewa

Filem Pagari Bulan baru sahaja memasuki tayangan pada 05 Oktober lalu. Namun, baru sahaja minggu pertama tayangan, filem ini dikatakan telah dikurangkan tayangan di pawagam.

Walaupun mendapat tempat di hati beberapa penonton, pengarah bagi filem ini, Raja Mukhriz meluahkan rasa kecewa dengan kutipan filem itu.

“Dengan isu Palestin dan Israel, korang boleh tengok betapa kejamnya penjajah dan ini terjadi di Tanah Melayu dahulu. ‘Sale’ sangat tak okay.

“Sebagai pengarah Pagari Bulan, tidak kisahlah salah siapa pun berkaitan ‘marketing’ (pemasaran) dan promosi. Sudah nasib kami. Mohon RT. Reda,” tulisnya.

Promosi filem tak sampai ke khalayak

Menerusi laporan media, Raja Mukhriz menyatakan dia dan pihak produksi sudah lakukan yang terbaik untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

“Saya sangat sedih dan kecewa. Filem Pagari Bulan dapat maklum balas positif daripada orang ramai tapi kutipan sangat teruk di pawagam.

“Daripada 10 orang yang menonton filem ini, semuanya beritahu mereka tersentuh emosi dan menangis.

“Namun, pihak kami tiada kepakaran dari aspek pengedaran dan promosi untuk filem ini. Saya tidak mahu menuding jari kepada pihak tertentu tapi apa yang saya nampak kelemahannya ialah dari aspek pengedaran dan promosi filem ini yang tidak sampai kepada khalayak. Promosi juga dibuat lewat selepas filem sudah nak habis tayang.

“Bagi saya pihak pengedaran dan promosi filem ini perlu ada strategi pemasaran untuk menarik penonton ke pawagam tanah air,” katanya.

FINAS batal tayangan filem Pagari Bulan di beberapa panggung wayang?

Sementara itu, Penerbit dan pengarah, Michael Ang, mempersoalkan keputusan dan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membatalkan tayangan filem Pagari Bulan di beberapa panggung wayang seluruh negara.

Menurut Michael, tindakan tersebut menyebabkan penerbit filem berkenaan, Raja Mukhriz Raja Ahmad dan isterinya, pelakon, Sharifah Shahora, berdepan dengan kebuntuan memandangkan syarat wajib tayang sepatutnya dalam tempoh 14 hari.

“Saya turut berlakon dalam filem Pagari Bulan sebagai cameo dan banyak juga orang komen yang filem itu bagus. Para pengkritik filem pun kata bagus dan berikan rating yang tinggi untuk filem itu termasuk mereka yang kononya tak suka filem Melayu pun berikan komen yang bagus.

“Ramai kata sinematografi filem, cara pengarahan bagus dan ada unsur-unsur sejarah. Tapi masalahnya kenapa tak ada sambutan di panggung? Sebab promosi tak cukup kuat?

“Lepas itu, Finas buat apa Finas? Suka-suka panggung boleh batal tayangan semua itu, kata ada 14 hari wajib tayang? Tolonglah buat sesuatu,”katanya.

Filem Pagari Bulan yang menerima dana filem kenegaraan bernilai RM2.5 juta mengisahkan Bulan lakonan Nazeera Sardi, iaitu anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu dikenali sebagai Ismail dan isterinya, Hasnah, berdepan tentera Jepun yang mendarat di Kelantan pada 1941.

Ketika itu, ramai penduduk kampung didera dan dibunuh. Anak gadis pula menjadi sasaran dengan ditahan dan dikurung sebagai ‘comfort woman’ atau pemuas nafsu tentera Jepun.

Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.

Selain Nazeera, Pagari Bulan dibintangi Aniq Durar, Alvin Wong, Andy Teh, Trisha Ooi, Michael Ang dan Laila Nasir.

Sumber: Berita Harian, Utusan, Raja Mukhriz

The post ‘Filem Pagari Bulan dapat maklum balas positif dari orang ramai, tapi kutipan sangat teruk’ – Pengarah filem luah rasa kecewa appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar