-->

‘TikTokers bukan satu pekerjaan!!’ – Dr Malar kesal segelintir pelajar memilih cita-cita jadi influencer berbanding jawatan tetap yang menjamin kestabilan

Seorang pegawai perubatan yang juga pempengaruh, DR Malar, meluahkan rasa kecewa apabila adanya segelintir pelajar lebih cenderung memilih cita-cita menjadi pempengaruh (TikTokers dan YouTuber) daripada pekerjaan yang berjawatan tinggi.

Beliau melihat situasi tersebut semasa mengendalikan satu ceramah kesihatan di sebuah sekolah di Ampang. Ketika disoal beberapa jawatan seperti jurutera, guru dan doktor, hanya sedikit pelajar sahaja yang mengangkat tangan memasang impian tersebut.

“Bila ditanya siapa nak jadi TikTokers? Suku dewan tu angkat tangan, terutamanya pelajar perempuan. Dan bila tanya siapa nak jadi YouTuber? Lagi suku dewan angkat tangan. Kali ni majoriti lelaki,” katanya.

Dr Malar menegaskan, menjadi pempengaruh bukannya satu pekerjaan. Dan jika ingin menjadi pempengaruh sepenuh masa katanya, kestabilan hidup tidak akan tercapai.

“Yang meniaga di TikTok itu adalah usahawan macam Khairulaming, itu bukan TikTokers namanya. Mereka adalah businessman, yang meniaga, boleh gunakan platform seperti TikTok dan juga Facebook untuk menjana sales.

“Yang bekerja, boleh gunakan platofrm sebegini untuk side income,” katanya.

Beliau juga mendedahkan realiti kehidupan sebenar pempengaruh katanya hidup dalam terkapai-kapai.

“Banyak pihak yang akan minta review free, model free, content free dan macam-macam lagi. Nampak macam diorang hidup mewah dan gembira, tapi hakikatnya mereka penat,” katanya.

Beberapa pesanan dan nasihat turut diselitkan oleh beliau tentang pekerjaan. Beliau menasihati agar pelajar-pelajar mencari pekerjaan yang menjamin kestabilan dan menimba ilmu sebanyak yang mungkin.

Di pentas Anugerah TikTok Malaysia beberapa minggu lalu, Khairul Aming dalam ucapan kemenangannya di TikTok Award, juga menitipkan pesanan kepada generasi baharu yang ingin menjadi pempengaruh atau pencipta kandungan.

“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dulu supaya keluar nanti boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.

“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular saja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” katanya.

Sumber: Dr Malar

The post ‘TikTokers bukan satu pekerjaan!!’ – Dr Malar kesal segelintir pelajar memilih cita-cita jadi influencer berbanding jawatan tetap yang menjamin kestabilan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar