-->

‘Sumpah demi Allah, saya tidak gunakan bahan terlarang, tetapi minyak bijan biasa’ – Peniaga Nasi Ayam Claypot tampil pertahankan diri

Baru-baru ini tular mengenai isu peniaga nasi ayam claypot yang didakwa menggunakan wain beras dalam masakannya dan diyakini tidak halal serta menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

Selepas isu itu tular di media sosial, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis itu.

Tiada bahan terlarang digunakan

Setelah beberapa lama mendiamkan diri, peniaga tersebut, Ahmad Muzakin Mohd Amir, akhirnya mengeluarkan kenyataan dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilemparkan terhadap perniagaannya.

“Sumpah demi Allah SWT saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia terkilan apabila ada segelintir pihak membuat pendedahan tanpa usul periksa. Malah tiada yang datang berjumpa dengannya terlebih dahulu. Sebaliknya terus mendakwa salah satu botol digunanya berisi bahan terlarang.

Akui premis tiada sijil halal dari JAKIM

Dakwanya, kedua-dua botol digunakannya itu adalah minyak bijan yang biasa digunakan dalam masakan Cina. Namun ia adalah bahan diyakini halal dan hanya kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa agama. Selain mendakwa premisnya juga pernah didatangi seorang pegawai daripada JAKIM.

“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim, tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.

“Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya. Cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.

“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal, kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi. Jadi macam mana saya masukkan bahan itu.

“Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” jelasnya.

Tetap maafkan individu yang sebar fitnah

Walaupun dikecam, dihina dan difitnah teruk di media sosial, dia tetap memaafkan individu berkenaan. Kerana setiap manusia mempunyai khilaf termasuk dirinya dan menganggap ia adalah ujian mereka dalam mencari rezeki.

Bagaimanapun, dia yang mempunyai lesen perniagaan secara sah juga mahu membuat permohonan sijil halal kepada Jakim dan akan mengikuti kursus berkenaan pada Khamis ini.

“Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri, Rotiya Ropai (49), nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku. Tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.

“Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru. Tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya.

“Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur,” katanya.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Sumpah demi Allah, saya tidak gunakan bahan terlarang, tetapi minyak bijan biasa’ – Peniaga Nasi Ayam Claypot tampil pertahankan diri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar