-->

‘Sebenarnya ia video lama, ketika itu ada isu RM200 tak dapat beli apa-apa’ – Fuziah Salleh tak terkejut dengan video viral

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh mengambil maklum mengenai posting mengenai dirinya yang tular di media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun beliau tidak terkejut dan percaya ada individu yang menyebarkan video itu dengan bermotifkan politik.

Menurut Fuziah, video tular itu adalah video lama yang dimuat naik pada awal Julai lalu. Ketika itu, beliau memantau harga barang keperluan asas di sebuah pasar raya di Langkawi.

“Sebenarnya itu video lama. Ketika itu ada isu yang (mengatakan perbelanjaan) RM200 (untuk barangan keperluan asas) tidak mencukupi.

“Jadi saya buat tinjauan di sebuah pasar raya dan beli sendiri barangan di situ,” katanya kepada Harian Metro, 20 September 2023.

Hasil dari pemantauan itu, Fuziah mendapati harga barangan di pasar raya itu lebih sedikit berbanding tempat lain yang menjual barangan Jualan Rahmah. Namun masih dapat memenuhkan bakul dengan wang di bawah RM200, yang mana merujuk pada situasi ketika itu.

Dengan penjelasan itu, Fuziah berharap orang ramai dapat memahami mesej yang cuba disampaikannya dalam video itu. Dan tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu.

Terdahulu tular video Fuziah mengatakan bahawa RM200 cukup untuk membeli barang keperluan dapur. Kenyataan itu dibuat berdasarkan pemantauannya sendiri di sebuah pasar raya di mana dia turut membeli barang keperluan yang berjumlah RM136.

Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam)

The post ‘Sebenarnya ia video lama, ketika itu ada isu RM200 tak dapat beli apa-apa’ – Fuziah Salleh tak terkejut dengan video viral appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar