-->

Konsert Jom Heboh di Kelantan didakwa tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998, wanita PKR Kelantan tuntut penjelasan kerajaan negeri

Wanita PKR Kelantan tampil menuntut penjelasan kerajaan negeri Kelantan mengenai penganjuran konsert kemuncak program Karnival Jom Heboh (KJH) di Kota Bharu Sabtu lalu yang didakwa telah bercampur lelaki dan wanita.

Ketuanya, Nor Azmiza Mamat berkata, berdasarkan gambar dan rakaman video secara jelas menunjukkan penganjuran konsert anjuran Media Prima itu tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

“Berdasarkan kumpulan foto dan video yang tular berkenaan suasana di malam penganjuran konsert, jelas terpapar percampuran tempat duduk antara lelaki dan perempuan. Sehingga menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang melanggar garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam foto dan video, selain garis panduan pengasingan penonton lelaki dan perempuan yang tidak dipatuhi, Wanita PKR Kelantan turut prihatin tentang penatacahayaan kawasan penonton yang malap boleh mempengaruhi kebarangkalian untuk berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya.

Nor Azmiza berkata, keadaan itu bercanggah dengan jaminan anggota exco Kelantan, Mohd Asri Mat Daud sehari sebelum acara berlangsung yang mengatakan karnival itu akan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 dan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Malah katanya, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan juga menyatakan KJH akan melakukan pengasingan jantina.

“Jelas kenyataan ini adalah kontradik dengan apa yang berlaku semasa konsert berkenaan pengasingan penonton.

“Sehubungan itu, kami memohon kerajaan negeri memberi penjelasan tentang penguatkuasaan enakmen berikut semasa konsert berlangsung,” katanya.

Oktober tahun lalu, penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan turut menerima kecaman kerana didakwa bertentangan dengan dasar yang dibawa oleh kerajaan negeri.

Sumber: MalaysiaKini

The post Konsert Jom Heboh di Kelantan didakwa tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998, wanita PKR Kelantan tuntut penjelasan kerajaan negeri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar