-->

Kerajaan Pahang tawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Member tahun depan

Kerajaan negeri Pahang telah bersetuju untuk menganjurkan Himpunan RXZ Member 6.0 pada tahun depan. Yang akan menghimpunkan para pemilik dan peminat motosikal dari seluruh negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Penganjuran ini katanya bukti keprihatinan dan cakna menteri besar terhadap minat anak muda. Khususnya peminat RXZ dari seluruh negara termasuk di Pahang.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati telah menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Member, awal tahun depan,” katanya.

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab-kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu berlangsung nanti.

“Insya-Allah berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka. Bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara-negara luar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia ini sudah memasuki edisi kelima penganjurannya selepas kali pertama diadakan bermula 2017 sehingga 2019. Sebelum kembali berhimpun pada tahun lepas dan terbaharu tahun ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Sumber: Sinar Harian

The post Kerajaan Pahang tawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Member tahun depan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar