-->

KDPN tuntut Gardenia beri penjelasan kenapa naikkan harga 30 produk roti, kena jawab dalam tempoh 6 hari

Susulan Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd mengumumkan 30 produknya akan mengalami kenaikan harga dari RM0.10 hingga RM0.40 mulai 1 Oktober, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menuntut penjelasan daripada syarikat berkenaan.

Baca: 30 produk Gardenia mengalami kenaikan harga 10 hingga 40 sen mulai 1 Oktober 2023

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis meminta Gardenia memberi penjelasan berhubung kenaikan itu dalam tempoh enam hari.

“Pihak Gardenia perlu menjawab notis itu dalam tempoh enam hari, sebab kita hendak tahu semua kos terbabit. Sebagai contoh harga tepung digunakan, kos pengangkutan, borong dan runcit.

“Keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dijelaskan,” katanya.

Selepas menerima penjelasan itu, KPDN akan melakukan pengiraan secara komprehensif sama ada kenaikan harga barang makanan itu rasional atau tidak.

Tambahnya, KPDN tidak menghalang sesebuah syarikat menaikkan harga barangan. Tetapi penetapan harga masih boleh dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

Ogos lalu, Gardenia menjelaskan pihaknya terpaksa menaikkan harga produk atas beberapa faktor iaitu, cabaran pasca Covid-19, pematuhan SOP Kementerian Kesihatan (KKM), krisis rantaian bekalan global, kos bahan mentah naik 25 peratus, pelaksanaan gaji minimum yang memberi kesan ketara kepada kos operasi.

Sumber: Harian Metro

The post KDPN tuntut Gardenia beri penjelasan kenapa naikkan harga 30 produk roti, kena jawab dalam tempoh 6 hari appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar