-->

Guru jadikan pelajar sebagai content di media sosial akan dikenakan tindakan tegas – Menteri Pendidikan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana guru yang menjadi pelajar sebagai kandungan (content) di media sosial.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di dalam media sosial.

“Sekiranya garis panduan itu tidak dipatuhi dan ada aduan, tindakan boleh diambil,” katanya memetik laporan daripada Sinar Harian, Jumaat, 8 September 2023.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada segelintir guru dengan sewenang-wenangnya menggunakan pelajar sebagai ‘content’ dalam media sosialnya bagi meraih tanda like, share, comment dan followers.

Perbuatan tersebut mengundang rasa kurang senang orang ramai. Terutamanya golongan ibu bapa yang merasakan anak-anak dipergunakan oleh guru untuk mendapatkan perhatian di media sosial. Apatah lagi, seseorang guru itu mendapat populariti dan habuan peribadi.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan, pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa berhubung anak mereka digunakan sebagai content dalam media sosial guru.

Netizen sokong tindakan KPM, tak kurang juga membantah

Di media sosial, netizen menyokong sepenuhnya amaran tegas daripada KPM kepada guru yang gemar berbuat demikian. Malangnya ada juga segelintir netizen membantah tindakan KPM.

“Ramai sangat yang gunakan student dalam content media sosial mereka. Kalau yang bermanfaat, kita alu-alukan. Kalau sebaliknya, minta la mereka diberi amaran dulu,” kata Nafiz.

“Upload video impromtu speaking, bersajak, aktiviti gotong-royong, budak-budak buat video share fun facts, cara berwudhuk, apa-apa berkaitan dengan pembelajaran saya rasa okay. Bagus untuk keyakinan diri. Tapi kalau record untuk menari TikTok ke apa ke, memang tak setuju,” kata Nryln Alias.

“Teknologi sudah canggih dan rasakan tak perlu sekat. Tetapi buat peraturan supaya setiap content itu memberi manfaat kepada pelajar dan orang yang menontonnya,” kata Nasrun.

“Cukup-cukuplah ambil tindakan macam-macam terhadap guru sampai guru nak buat apa pun tak boleh. Selagi mereka tak buat content yang mengaibkan, menghina atau memalukan murid dan sekolah, biarlah. Guru dah cukup stress dengan kerja yang berlambak,” kata Edy Zuraidy.

Sumber: Sinar Harian

The post Guru jadikan pelajar sebagai content di media sosial akan dikenakan tindakan tegas – Menteri Pendidikan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar