-->

‘Dulu beli beras murah RM25/10kg, sekarang naik sampai RM40’ – Harga beras naik mendadak, ramai golongan B40 terbeban & terpaksa catu makanan

Sejak beberapa minggu ini, ramai yang merungut terkesan dengan kenaikan harga beras yang mendadak. Hal itu membuatkan ramai golongan B40 terkesan dan berharap kerajaan mengambil tindakan pantas untuk menangani masalah ini.

Ada keluarga yang terpaksa mula mencatu makanan berikutan tiada pilihan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Begitu juga dengan peniaga, terpaksa menaikkan harga barangan tanpa kerelaan.

Pengguna, Rohani Omar, 50, yang sebelum ini membeli beras tempatan jenama Nagasari pada hari RM25 bagi 10 kilogram (kg), kini dia terpaksa membayar harga RM40.

Pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang kebun, hanya mampu meraih RM1,500 sebulan. Sudah tentu kenaikkan harga beras itu membebankan mereka.

“Kami tiada pilihan lain. Sebelum ini kami hanya mampu membeli beras paling murah. Sekarang naik harga melampau. Belum lagi harga ayam dan telur sama naik,” katanya kepada Harian Metro, Ahad, 17 September 2023.

Turut merasai beban yang sama, Mustafa Rusdi, 48, terkejut apabila mendapati harga beras naik mendadak.

“Susah nak dapat beras yang harga murah. Nak tak nak, terpaksa beli. Kalau tunggu pasar raya buat promosi pun, harga beras masih juga tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Baca laporan penuh mengenai kesan kenaikan harga beras di portal Harian Metro ‘B40: Terpaksa catu makanan, kami tiada pilihan lain – Suri Rumah‘.

Kenaikkan harga beras mendadak berlaku ekoran tindakan pengeksport beras terbesar dunia, India telah menyekat aktiviti pengeksportan beras ke luar negara.

Sebelum ini, India telah mengeksport beras ke 140 buah negara termasuk Malaysia. Namun, disebabkan taburan hujan yang tinggi dan lebat sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan tanaman padi di negara itu tidak menjadi.

Bagi mengelakkan bekalan beras untuk kegunaan dalam negara tidak mencukupi, India bertindak menghentikan sementara aktiviti pengeksportan beras.

Sumber: Harian Metro (Sri Ayu Kartika Amri)

The post ‘Dulu beli beras murah RM25/10kg, sekarang naik sampai RM40’ – Harga beras naik mendadak, ramai golongan B40 terbeban & terpaksa catu makanan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar