-->

‘Aku gerak dulu’ – 3 pelajar kolej maut dalam kemalangan selepas gagal memotong di Lebuhraya Senai-Desaru

Tiga pelajar kolej dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 50, Lebuhraya Senai – Desaru, petang Selasa, 2 September 2023.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu yang membabitkan tiga jenis kenderaan iaitu Perodua Bezza, Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.

Siasatan polis mendapati, Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 20 tahun bersama tiga rakannya dalam perjalanan ke arah Senai cuba memotong kenderaan di hadapan.

Malangnya, pemandunya gagal memotong lalu bertembung dengan Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.

“Pemandu Volkswagen Beetle sempat mengelak dan bergesel dengan Perodua Bezza. Manakala Toyota Innova berlanggar secara depan dengan Perodua Bezza,” katanya.

Akibat daripada kemalangan itu, pemandu Bezza, Iqbal Faiz Mat Shah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, yang kesemuanya merupakan pelajar kolej tempatan di Batu Pahat meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah.

Manakala seorang penumpang yang terselamat dalam kemalangan itu, Izznur Harith, 19, kini sedang dirawat di zon merah, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Pemandu dan penumpang Beetle dan Innova juga dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Menurut rakan kepada mangsa, Mohamad Hakim Md Nor, 19, berkata, Iqbal dan tiga rakannya terbabit dalam nahas itu terdahulu merancang untuk mengadakan perkhemahan di Pantai Batu Layar, sejak seminggu lalu sempena cuti hari kebangsaan.

“Mereka sewa kereta dan bertolak pada Jumaat dan balik Sabtu. Ketika kejadian berlaku, mereka dalam perjalanan balik ke Batu Pahat kerana pada hari Ahad kami sudah mulai kelas.

“Masih segar dalam ingatan bila dia hendak keluar ambil kereta sewa, dia sempat berkata, “Aku gerak dulu”. Tak sangka itu adalah perbualan terakhir kami sebelum saya dapat panggilan yang menyatakan Iqbal maut dalam kemalangan,” katanya memetik laporan dari Kosmo! Online.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Kosmo! Online

The post ‘Aku gerak dulu’ – 3 pelajar kolej maut dalam kemalangan selepas gagal memotong di Lebuhraya Senai-Desaru appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar