-->

Wanita hamil, suami & anak perempuan berusia 5 tahun maut, kereta dihempap pokok tumbang

Dua buah kenderaan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas dilaporkan telah dihempap pokok tumbang dalam kejadian jam 8.04 malam tadi yang menyebabkan tiga individu maut, dua cedera dan lima lagi terselamat.

Mangsa yang maut dikenalpasti adalah Nik Amirah Ab Rahman, 40, suaminya Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan anaknya, Nik Aishah Azzahra, 5.

Dua lagi anak yang lain, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, 9, yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, sepasukan bomba telah dihantar ke lokasi kejadian dan mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta Nissan Sentra.

Harian Metro melaporkan, wanita yang maut berkenaan ditemui dalam keadaan sedang meriba anaknya berusia lima tahun di tempat duduk hadapan.

“Difahamkan wanita itu juga sedang mengandung. Selepas mengeluarkan mangsa, kita mendapati ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.

“Pokok yang menghempap dua kenderaan itu adalah setinggi 50 meter dan sebesar dua pemeluk, tumbang akibat ribut dan hujan lebat,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro

The post Wanita hamil, suami & anak perempuan berusia 5 tahun maut, kereta dihempap pokok tumbang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar