-->

‘Tomboy warga asing itu minta maaf & akui marah Iman kerana degil’ – Jiran

Jiran kepada mangsa dera ibu kandung dan rakannya dalam kejadian di Pasir Gudang baru-baru ini mendakwa kerap mendengar kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu menangis.

Wan Noor Badri Wan Yahya, 38, berkata, mangsa yang dikatakan kerap menangis sejak hampir sebulan lalu mengundang rasa curiganya dan jiran lain yang tinggal berhampiran.

Pada hari kejadian, dia bersama penduduk lain datang untuk bertanya mengenai keadaan sebenarnya yang berlaku dan tidak sesekali menyangka kanak-kanak itu didera.

“Sejak kanak-kanak itu bersama ibunya dan kenalan yang kami sangkakan ‘suami’ wanita itu berpindah menyewa di rumah berkenaan April lalu, mangsa selalu ditinggalkan berseorangan di rumah ketika dua wanita itu pergi bekerja di Singapura.

“Mangsa dilihat hanya dibenarkan bermain dalam kawasan pagar rumah. Sehinggalah pada akhir Jun lalu, mangsa terlepas bermain sehingga ke luar kawasan perumahan.

“Sejak itu, kami sering mendengar mangsa dimarahi, dipukul dan dimaki hamun,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro.

Keadaan menjadi semakin teruk sejak dua minggu lalu di mana mangsa dikatakan menangis tidak bersuara. Malah ada penduduk yang mendakwa pernah ternampak mangsa dirotan.

Ketika diserbu pada tengah malam kelmarin, wanita warga asing berperwatakkan lelaki itu memohon maaf dan mengakui dia memarahi mangsa untuk mengajarnya kerana mangsa dikatakan degil.

Sementara itu, seorang lagi jiran di kawasan perumahan itu meluahkan rasa kesal dengan tindakan dua wanita terbabit dan bersyukur mangsa dapat diselamatkan awal.

“Kalau lihat keadaan mangsa, penuh dengan kecederaan di seluruh badan termasuk kaki dan tangan. Bayangkan kalau kita sebagai jiran tidak bertindak awal,” kata Firdaus Abu Hassan, 30.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua suspek telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. Sementara itu, mangsa kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Tomboy warga asing itu minta maaf & akui marah Iman kerana degil’ – Jiran appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar