-->

‘Saya pinjam RM400 tapi dapat RM190, sekarang hutang jadi RM22,000’ – Bekas penyewa dakwa dianiaya Ah Long, tampil buat laporan polis

Susulan kes rumah sewa disimbah dengan cat merah oleh individu dipercayai Ah Long, bekas penyewa rumah berkenaan tampil membuat laporan polis.

Dalam laporan polis yang dikongsikan di media sosial, Mohamad Faizal, 33, berkata dia membuat laporan itu selepas mendapati kes yang menimpa penyewa baharu itu tular di media sosial.

Berita berkaitan: ‘Last warning! Awak jangan cabar saya’ – Ah Long simbah cat merah tetapi tersilap sasaran, penyewa baru pula yang menjadi mangsa

Difahamkan, Mohamad Faizal pada 17 April 2023, pernah membuat pinjaman wang melalui aplikasi di telefon sebanyak RM400.

Bagaimanapun, dia hanya mendapat RM190 dan diminta membuat bayaran balik selepas 10 hari kemudian.

Selepas membuat bayaran penuh pada 9 Mei 2023, Mohamad Faizal mendakwa dia menerima mesej melalui WhatsApp yang menyatakan dia masih berhutang sebanyak RM1,800. Sekiranya dia gagal melangsaikan hutang itu, Ah Long berkenaan akan terus mengganggu dia dan keluarga.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Mohamad Faizal meminta bantuan daripada sebuah NGO dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang pembayaran kepada pihak tersebut yang dipercayai ‘scammer’.

Namun sehingga ke hari ini, dia masih menerima pelbagai mesej/panggilan dari nombor yang tidak dikenali meminta dia menjelaskan hutang sebanyak RM22,000. Kegagalan berbuat demikian, Ah Long mengugut untuk membakar rumahnya.

Bimbang dengan ugutan yang diberi terhadap penyewa baharu yang tular di media sosial, Mohammad Faizal telah tampil membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Terdahulu, seorang wanita bernama Rozanah tampil mendedahkan rumah sewanya disimbah dengan cat merah. Turut disertakan sekeping nota ugutan yang meminta Mohamad Faizal melangsaikan hutang yang tertungguk atau mereka akan membakar rumah tersebut.

The post ‘Saya pinjam RM400 tapi dapat RM190, sekarang hutang jadi RM22,000’ – Bekas penyewa dakwa dianiaya Ah Long, tampil buat laporan polis appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar