-->

‘Ramai yang takut, jadi saya tawarkan diri untuk wakili Somalia’ – Nasra Abukar Ali

Atlet Somalia, Nasra Abukar Ali, yang mencipta rekod dunia sebagai atlet terpaling perlahan menghabiskan acara pecut di Sukan Universiti Dunia, China minggu lalu, tampil menyalahkan kecergasan fizikalnya kurang dan tidak mempunyai pengalaman dalam acara itu sebagai punca dirinya mendapat tempat terakhir.

Nasra yang menamatkan acara pecut 100 meter dengan catatan masa 21.81 saat berkata, dia sebenarnya telah menawarkan diri untuk mewakili Somalia ke pertandingan global selepas kategori perlumbaan 100 meter itu gagal menarik peserta wanita di negaranya.

“Di Somalia, ramai wanita takut untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukan.

“Apabila kategori perlumbaan 100 meter gagal menarik peserta wanita, saya telah menawarkan diri untuk mewakili negara saya di China,” katanya kepada wartawan Somalia, Munasar Mohamed dalam temu bual yang disiarkan di Facebook, Khamis lalu.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia hanya mempunyai tempoh masa sebulan untuk membuat persiapan bagi pertandingan di China.

“Satu bulan tidak pernah cukup untuk membuat persiapan sepenuhnya bagi pertandingan perlumbaan. Saya tidak cergas secara fizikal untuk pecut dengan pantas,” ujarnya.

Menurut Nasra, Menteri Belia dan Sukan Somalia tahu tentang penyertaannya dalam temasya sukan itu dan pegawai kementerian juga ada melihat dia pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Aden ADde di Mogadishu.

“Saya kini menjadi bahan ketawa kerana tidak menang. Sekiranya saya menang, mereka tidak akan menafikan pengelibatan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nasra mengakui sukar untuk dirinya bersaing dengan atlet lain yang ternyata lebih berpengalaman dan terlatih.

Walaupun insiden memalukan itu masih menjadi bualan ramai, pelajar Universiti Jobkey yang berpangkalan di Mogadishu itu tidak akan terkesan dengan kritikan dan penghinaan yang dilemparkan terhadapnya. Malah dia bersedia untuk mewakili negaranya pada bila-bila masa sekiranya dipanggil.

Sumber: TRT Afrika

The post ‘Ramai yang takut, jadi saya tawarkan diri untuk wakili Somalia’ – Nasra Abukar Ali appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar