-->

‘Lebih 30 tahun, benda asas pun tak boleh nak selesai’ – Isteri YouTuber luah rasa kecewa dengan masalah air di Kelantan

Umum mengetahui negeri Kelantan dilanda masalah bekalan air sejak sekian lama. Setiap tahun aduan demi aduan diterima, namun kerajaan negeri seolah-olah tidak memandang serius dengan masalah itu.

Terbaru, seorang wanita berkongsi runggutannya di media sosial mengenai ketiadaan bekalan air selama enam bulan di kampungnya.

“Pagi sampai malam memang tak ada air langsung di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas.

“Terpaksa ambil air dari masjid pagi sekali, tengah hari sekali, petang sekali untuk buat mandi, basuh pinggan, buat minum, buat ambil air sembahyang.

“Kita ni sampai dah malu duk pergi mandi masjid. Buat tebal muka macam tu la,” kata Nur Idayu Supian yang juga mempunyai anak kecil.

Lebih 30 tahun, masalah sama tak selesai

Perkongsian itu menarik perhatian isteri pempengaruh Syahmi Sazli, Anissa Faizul, yang kemudian berkongsi pandangannya mengenai isu berkenaan di Facebooknya.

Menurut Anissa, masalah bekalan air sudah lebih 30 tahun tidak diselesaikan menyebabkan penduduk sukar untuk menjalani rutin dan mengerjakan kewajipan.

Sumber gambar: Oh! Media

“Lebih 30 tahun dah duk jaga. Benda asas pun tak boleh nak selesai. Dengan air la nak ambil sembahyang, sembahyang di rumah. Mandi selepas balik kerja untuk pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah.

“Bercakap lebih-lebih kang, dikata tak sayangkan agama. Benda asas untuk jumpa Sang Pencipta pun tak selesai,” katanya.

Perkongsian pandangannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang menyokong, tetapi tidak kurang juga yang membidasnya yang didakwa memburukkan negeri Kelantan.

Tak salah bercakap tentang isu rakyat

Menyedari ramai netizen yang bersuara mengenai hantaran isterinya, Syahmi tampil memberi penjelasan menerusi TikTok.

Menurut Syahmi, Annisa cuma berkongsi luahan seorang wanita di Facebook Group Pasir Mas yang mengadu mengalami masalah air sejak enam bulan lalu. Dalam hantaran itu, isterinya tiada menyebut tentang kerajaan negeri perlu ditukar. Tetapi hanya sekadar bersuara tentang masalah rakyat.

Malah Syahmi berpendapat, masalah bekalan air sememangnya berlaku dan bukan menjadi satu kesalahan untuk rakyat berbicara mengenainya.

“Kalau sentuh masalah ini satu kesalahan, tak ada perubahanlah. Kalau ikutkan, saya tak kisah pun sesiapa nak tadbir atau memerintah. Tapi asalkan benda asas untuk rakyat ini dipenuhi dan diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Syahmi juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada orang ramai sekiranya mereka tersinggung dengan hantaran isterinya.

Elak ‘dipersoalkan’ kelak di kemudian hari

Sementara itu, Anissa juga memohon maaf melalui Instagramnya. Malah dia turut menjelaskan kenyataan yang dibuat itu bukan untuk tujuan marketing.

“Saya mohon maaf andai apa yang saya kata itu salah dan ada pihak yang tidak berpuas hati. Pada masa sama, saya rasa puas bila status itu mendapat perhatian daripada media.

“Bukan tujuan marketing tetapi untuk ‘lepaskan’ part saya atas dunia ini. Saya tahu apa yang saya tulis, share dan suarakan pasti akan mendapat perhatian.

“Ini salah satu cara saya untuk mengelak ‘dipersoalkan’ kelak tentang rezeki ada pengikut yang ramai,” katanya.

Sumber: Anissa Faizul, Syahmi Sazli, Oh! Media

The post ‘Lebih 30 tahun, benda asas pun tak boleh nak selesai’ – Isteri YouTuber luah rasa kecewa dengan masalah air di Kelantan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar