-->

Ibu tunggal, tomboy menangis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya Iman sehingga cedera teruk di belakang badan

Ibu tunggal dan kenalannya berperwatakan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya.

Tertuduh pertama dan kedua, Awiin Chua, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menganiaya mangsa berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa mengabaikan mangsa ketika kanak-kanak lelaki berkenaan berada di bawah pemeliharaan mereka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos 2023. Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir mencadangkan jamin RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

“Tertuduh pertama adalah ibu kandung mangsa dan telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa ke negeri ini. Namun tertuduh gagal menjaga sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua pula merupakan seorang warga Singapura yang tinggal serumah dengan tertuduh pertama. Walaupun tiada pertalian darah tetapi tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa,” katanya.

Peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Abd. Rahim Ali, bagaimana memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah kepada anak guamnya kerana mereka masih belum didapati bersalah.

Hakim Fatimah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada ibu mangsa dan RM20,000 kepada Awiin.

Mereka juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai. 27 September ditetapkan untuk tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan perubatan mangsa daripada pihak Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sumber: Kosmo! Online

The post Ibu tunggal, tomboy menangis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya Iman sehingga cedera teruk di belakang badan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar