-->

‘Gigit-gigit tak pecah, ingatkan kekacang rupanya jari manusia’ – Kakitangan hospital terjumpa jari manusia dalam chocolate bar

Seorang kakitangan wanita di Hospital Mahiyanganaya, Sri Lanka, terpaksa melupakan hasrat untuk makan coklat kegemarannya, selepas dia menyedari kehadiran ‘bendasing’ di dalam bar coklat yang dibelinya dari kantin hospital.

Pada awalnya, pengadu menyangka benjolan itu adalah kekacang. Setelah diperiksa, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati benjolan itu adalah jari manusia yang terpotong dan telah sebati dengan coklat tersebut.

Pengadu kemudian segera melaporkan penemuan mengejutkan itu kepada pihak atasan. Pegawai Kesihatan Awam yang menerima makluman mengenai kejadian itu, datang ke lokasi dan membuat pemeriksaan pada coklat keluaran tempatan itu dengan jari manusia yang ditemui.

Pihaknya juga merampas beberapa bar coklat lain yang masih belum dibuka daripada kantin hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, pengadu telah memakan sebahagian daripada coklat itu dan selebihnya disimpan di dalam peti sejuk. Selepas beberapa hari kemudian, dia mengambil coklat itu semula untuk dimakan.

Semasa menggigit coklat itu, giginya terasa ada sesuatu yang keras. Dia menyangka benda yang digigit itu adalah kekacang.

Walaupun telah digigit dengan kuat dan berulang kali, ‘kekacang’ itu tidak hancur. Pengadu mengeluarkan ‘kekacang’ itu dan dibasuh menggunakan air sebelum menyedari benda itu adalah jari manusia.

Susulan penemuan yang mengerikan itu, pihak pengeluar telah bertindak menarik semula produk tersebut dari pasaran di bandar Mahiyanganaya dan akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Sumber: Daily News

The post ‘Gigit-gigit tak pecah, ingatkan kekacang rupanya jari manusia’ – Kakitangan hospital terjumpa jari manusia dalam chocolate bar appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar