-->

‘Anak dipukul & ditampar bertubi-tubi’ – Murid Tahun Dua alami pendarahan telinga, bengkak pipi akibat ditampar oleh guru sekolah

Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah rendah di Kelantan mendakwa telah ditampar oleh guru sekolahnya pada Rabu lalu. Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga serta kecederaan pada tisu lembut di bahagian muka.

Kejadian itu disedari oleh bapa mangsa, Khairul Asraf Razali, 33, apabila mendapati pipi mangsa bengkak sebelum mengadu sakit di bahagian muka dan pening kepala.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menjalani pemeriksaan.

“Anak kami dimasukkan ke wad selama dua hari dan doktor memaklumkan mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga, selain bengkak di kedua-dua pipinya,” katanya.

Khairul mendakwa, kejadian berlaku apabila guru yang dipanggil ustaz itu mencari anaknya di kelas kira-kira jam 7.40 pagi sebelum menampar di muka beberapa kali sehingga terjatuh.

“Kami difahamkan tindakan ustaz itu ekoran aduan rakan anaknya yang juga rakan sekelas anak kami bahawa mereka bergaduh sehari sebelum kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau, perbuatan guru itu turut disaksikan murid lain dan pekerja pembersihan sekolah.

Bagaimanapun katanya, guru berkenaan ada menghubunginya pada sebelah petang hari sama untuk meminta maaf tetapi dan selepas itu tidak lagi bertanya khabar.

“Saya juga bergegas bertemu pihak pengurusan sekolah kira-kira jam 1 tengah hari untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu.

“Kami kesal kerana tidak menerima maklumat mengenai perkara itu sedangkan kejadian berlaku pada awal pagi. Anak saya menjawab soalan peperiksaan dalam ketakutan dan menangis,” katanya.

Ekoran daripada insiden itu, pasangan itu turut membuat laporan polis di Balai Polis Melor kira-kira jam 2.40 petang untuk tindakan lanjut.

Selain polis, pihaknya turut memohon tindakan segera diambil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Buletin TV3

The post ‘Anak dipukul & ditampar bertubi-tubi’ – Murid Tahun Dua alami pendarahan telinga, bengkak pipi akibat ditampar oleh guru sekolah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar