-->

4 negeri di bawah pemerintahan PN mungkin akan guna logo & tema Hari Kebangsaan berbeza dari persekutuan – Ketua Pemuda PN

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan empat negeri di bawah pentadbiran PN berkemungkinan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza bagi sambutan peringkat negeri, berbanding logo dan tema yang akan digunakan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN yang berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan.

Selain itu, logo tersebut juga mengambil elemen warna dari Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

“Logo ini adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri yang berada di bawah PN juga akan menggunakan tema sama, cuma saya tak boleh bercakap bagi pihak kerajaan negeri.

“Kita akan cuba bertemu kerajaan negeri sebab mereka pasti ada persiapan masing-masing. Kalau belum terlewat, kita tidak menolak kemungkinan bertemu kerajaan negeri di bawah PN untuk guna tema dan logo yang sama,” katanya memetik laporan dari Berita Harian.

Sementara itu di peringkat persekutuan pula menggunakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Tinjauan di media sosial pula mendapati, netizen mengkritik tindakan Ketua Pemuda PN yang dikatakan tidak wajar.

“Ironinya kemerdekaan inilah kita nak menyatupadukan rakyat Malaysia. Kenapa nak kena berbeza logo? Sebab tak support kerajaan, so nak pecah belahkan rakyat Malaysia? Memang sakit korang ni,” kata Syue.

“Nampak sangat batu api. Sengaja nak memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia. Kerajaan wajib ambil tindakan,” kata Rafflesia.

Sumber: Berita Harian, Twitter

The post 4 negeri di bawah pemerintahan PN mungkin akan guna logo & tema Hari Kebangsaan berbeza dari persekutuan – Ketua Pemuda PN appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar