-->

‘Ryzal ajar saya hasilkan kandungan kreatif sehingga dikenali’ – Maryam nafi dakwaan dipergunakan suami untuk populari

Semenjak awal perkahwinannya dengan pempengaruh terkenal Ryzal Ibrahim dan kepulangan mereka ke Malaysia, Maryam Nurr atau lebih dikenali sebagai Durian Kimchi seringkali menjadi tumpuan.

Maryam yang mula berjinak-jinak sebagai pengacara dan pelakon bakal bergelar penyanyi tidak lama lagi.

Disebalik populariti yang dikecapi, dikatakan ada pihak yang kurang senang dengan pencapaiannya itu sehingga menuduh Ryzal mempergunakkannya demi kepentingan dan kesenangan.

Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun itu berkata, dia sudah lali apabila netizen sering melemparkan pelbagai tuduhan terhadap suaminya.

Hakikatnya, jelas Maryam yang bakal muncul dalam filem sulung, Mat Tudung Begins arahan Datuk Fizz Fairuz, tiada pasangan yang sempurna dan mereka saling ‘mempergunakan’ antara satu sama lain.

Malah, kata Maryam, jika tidak kerana suami yang mengajarnya menghasilkan kandungan kreatif dalam laman sosial tentu namanya tidak dikenali seperti hari ini.

“Ramai menuduh Ryzal mengerah tenaga dan memaksa saya membuat macam-macam untuk kesenangan. Sedangkan netizen tidak tahu suamilah yang bertanggungjawab mengajar saya menghasilkan kandungan kreatif hingga dikenali.

“Jika tidak, mungkin sampai sekarang saya masih menjadi penjual roti. Bagi saya, ini adalah situasi menang-menang.

“Adatlah pasangan yang berkahwin saling menggunakan satu sama lain dan perkara itulah yang menjadikan perkahwinan semakin sempurna.

“Saya tahu ada ramai orang berkahwin dengan wanita asing, tetapi mereka tidak ke depan atau mungkin tiada bakat. Jadi, apa salahnya saya menggunakan bakat yang ada dan inilah rezeki kami,” katanya.

Pernikahan Maryam dan Ryzal Ibrahim berlangsung di Masjid Itaewon, Seoul pada 2019. Mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Rina pada tahun 2021.

Sumber: Berita Harian

The post ‘Ryzal ajar saya hasilkan kandungan kreatif sehingga dikenali’ – Maryam nafi dakwaan dipergunakan suami untuk populari appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar