-->

Pemandu lori dakwa diugut pemandu Ford Ranger punca dia keluarkan parang

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun terbabit dalam video tular yang menunjukkan dirinya mengacu parang terhadap seorang individu lain dalam kejadian di stesen minyak di RnR Gurun, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, anggota Task Force Balai Polis Gurun telah datang ke lokasi dan menemubual pengurus stesen minyak.

Baca artikel berkaitan: ‘Call polis! Dia pegang samurai!’ – Lelaki kejar dan acu samurai kerana bengang dihon pengadu

Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 7.40 malam, 1 Julai 2023. Dan video yang tular di media sosial itu pula dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Eysz Seventhx.

Difahamkan, kejadian bermula apabila pemandu lori memandu keluar dari Hentian Bukit Kobah, Pendang dan berselisih faham dengan lelaki yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger, gara-gara pemandu kenderaan itu membunyikan hon.

Perselisihan faham itu berterusan sehingga ke stesen minyak tersebut. Pemandu lori mendakwa dia diugut oleh pemandu Ford Ranger, menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya.

Pemandu lori berkenaan tampil membuat laporan polis semalam dan terus ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, polis sedang giat mengesan pemandu Ford Ranger untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramaiyang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta tampil menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927 untuk membantu siastan.

Sumber: Harian Metro

The post Pemandu lori dakwa diugut pemandu Ford Ranger, punca dia keluarkan parang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar