-->

Lelaki dipenjara 1 tahun 3 bulan kerana seksa mental jirannya dengan muzik elektronik yang kuat hampir 5 tahun

Seorang lelaki di Barcelona dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan selepas mahkamah mendapati dia telah menganiaya jirannya kira-kira lima tahun dengan memainkan muzik elektronik dengan bunyi yang kuat tanpa henti.

Mimpi ngeri jiran tertuduh bermula pada tahun 2012 apabila dia mula memainkan muzik elektroniknya sepanjang hari sehingga ke waktu malam.

Walaupun pernah diminta untuk mengecilkan bunyi muziknya, termasuk campur tangan daripada pihak polis, lelaki itu tidak mengendahkan semua aduan itu. Hal itu membuatkan jirannya tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa bersabar dengannya.

Pada tahun 2015, tiga jiran yang tinggal di rumah bersebelahan dengan tertuduh memfailkan aduan terhadapnya. Selepas mereka tidak tahan dengan gangguan pencemaran bunyi yang berlaku hampir tiga tahun.

Mereka mendakwa, bunyi dan dentuman muzik elektronik tertuduh yang berterusan membuatkan mereka mengalami masalah fizikal dan mental.

Defendan dilaporkan tidak mengendahkan aduan jiran-jirannya dan amaran daripada pegawai polis, yang kesemuanya memberi keterangan terhadap tertuduh di mahkamah.

Pengukuran bunyi yang dibuat selama lima tahun menunjukkan bahawa audio muzik elektronik berkenaan melebihi 57 desibel pada waktu siang dan 56 desibel pada waktu malam, melebihi 35 desibel yang dibenarkan oleh undang-undang. Muzik elektronik yang dipasang lelaki itu dilaporkan begitu kuat sehingga menyebabkan objek di rumah jiran sentiasa bergetar.

Salah seorang jiran warga emas yang ketakutan dengan muzik elektronik yang kuat memberi keterangan bahawa dia mengalami insomnia yang memerlukan rawatan sedaif-hipnotik yang ditetapkan. Manakala penyakit Alzheimer jiran lain bertambah teruk kerana terjejas dengan tindakan tertuduh.

Lapor El Diario, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan dan dikehendaki membayar pampasan kepada jiran dan mangsa perbuatannya sebanyak 18,000 euro (RM91K) dan denda 2,160 euro (RM10K).

Tertuduh juga dilarang mengamalkan sebarang profesion atau perdagangan yang berkatan dengan muzik elektronik.

Sumber: Oddity Central

The post Lelaki dipenjara 1 tahun 3 bulan kerana seksa mental jirannya dengan muzik elektronik yang kuat hampir 5 tahun appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar