-->

‘Kuliah UAI bukan dibatalkan, tapi ditangguhkan’ – JAWI jelaskan pihak masjid sudah maklum lebih awal kepada UAI

Baru-baru ini satu hantaran yang dibuat oleh pentadbir akaun Ustaz Azhar Idrus memaklumkan Kuliah Maghrib Perdana penceramah itu yang dijadualkan berlangsung di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

Hantaran tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai persepsi negatif orang ramai sehingga mengecam dan melemparkan pelbagai tohmahan yang tidak sepatutnya kepada pihak lain yang tidak berkaitan.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan berkata, kuliah tersebut bukan dibatalkan, sebaliknya ditangguhkan.

“Pihak masjid telah membuat pemakluman berhubung penangguhan undangan lebih awal kepada pihak penceramah.

Langkah tersebut bagi memastikan proses penyusunan semula jadual pengkuliahan melibatkan penceramah dan tenaga pengajar dapat dibuat dengan mengambil kira beberapa acara utama.

“Justeru isu pembatalan adalah tidak berbangkit sama sekali.

“Kami berpandangan agar sebarang isu yang timbul dapat ditangani secara harmoni berlandaskan semangat persaudaraan antara semua pihak,” katanya.

Jawi menambah, pihaknya komited memastikan institusi masjid dan surau terus berperanan sebagai pangkalan ibadah, pusat ilmu serta penyatuan masyarakat berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

“Selain itu, berdasarkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019, dan Garis Panduan Program Pengajian Serta Pengimarahan Masjid dan Surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” kata Jawi lagi.

Sumber: UAI Original, JAWI, Twitter

The post ‘Kuliah UAI bukan dibatalkan, tapi ditangguhkan’ – JAWI jelaskan pihak masjid sudah maklum lebih awal kepada UAI appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar