-->

Ibu bapa mangsa lemas di pusat jagaan kanak-kanak berjalan kaki tuntut keadilan untuk kematian anak

Ibu bapa kepada seorang budak lelaki berusia empat tahun, V Thanes Nair yang ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah pusat jagaan kanak-kanak kini menuntut keadilan atas kematian anak mereka.

Menerusi satu video di TikTok, pasangan itu dikatakan berjalan kaki dengan berkaki ayam dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Klebang di Perak ke IPD Ipoh. Mereka juga membawa sepanduk dengan mesej “Justice for Thanes” (keadilan untuk Thanes) .

Pada April lalu, D Nilaveni mendakwa sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Ipoh cuai ketika menjaga Thanes pada hari pertama mangsa dihantar ke situ.

Kanak-kanak itu dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang yang terletak berhampiran premis berkenaan sebelum meninggal dunia enam hari kemudian.

Nilaveni berkata pihak pusat jagaan kanak-kanak itu masih gagal memberi penjelasan bagaimana anaknya boleh ditemui tidak sedarkan diri dalam kolam renang dewasa dalam kejadian pada 17 April lalu.

Katanya, dia dan suami sudah membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasat apa yang berlaku pada anak mereka pada hari kejadian.

Pusat jagaan kanak-kanak itu, Kinder Labz, berkata pihak pengurusan dan petugas memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Difahamkan juga pusat jagaan kanak-kanak itu pada mulanya menyalahkan kedua ibu bapa mangsa kerana tidak memaklumkan lebih awal mangsa adalah kanak-kanak autisme.

Sumber: Free Malaysia Today, TikTok Clinic Star Medicare, TikTok Justice for Thanesh Nair

The post Ibu bapa mangsa lemas di pusat jagaan kanak-kanak, berjalan kaki tuntut keadilan untuk kematian anak appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar