-->

Bunuh pemandu Grab Aiman Nosri, dua lelaki warga asing dihukum gantung sampai mati

Lima tahun lalu, seorang pemandu Grab dijerut sehingga mati oleh dua lelaki warga asing. Mayat mangsa, Aiman Nosri, 27, ditemui di dalam kereta di kawasan parkir Taman Selayang Makmur pada Jun 2018.

Ketika ditemui, mayat mangsa berada dalam keadaan terlungkup dengan kepalanya mengenai lantai kenderaan, manakala kakinya di atas, di tempat duduk belakang kereta miliknya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua tertuduh, Sua Lay (Myanmar) 38, dan Gurpeet Singh (India) 28, kerana gagal meimbulkan keraguan munsabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut fakta kes, Sua dan Gurpeet didakwa dengan niat bersama-sama membunuh mangsa dengan cara menjerutnya sehingga lemas.

Mayat mangsa kemudian ditinggalkan di dalam kereta, sekali gus menunjukkan mereka tidak mempunyai perasaan belas kasihan kepada si mati.

Terdahulu. Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail memohon mahkamah memberikan hukuman berat dan tidak perlu menunjukkan simpati kerana kesalahan tertuduh telah berjaya dibuktikan.

Peguam Siti Anis Che Ab. Wahab dan Peguam Muhamad Amirul Jamaluddin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan 12 sebatan terhadap anak guamnya. Ini kerana pembunuhan yang berlaku dalam kes ini bukan ‘brutal’ dengan penggunaan senjata.

Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu ibu mangsa, Nurizawati Dani, 57, meluahkan rasa bersyukur apabila kematian anaknya akhirnya terbela dengan sewajarnya daripada pihak mahkamah.

“Hukuman yang diberikan adalah setimpal. Hutang nyawa harus dibalas dengan nyawa. Barulah saya akan rasa tenang dan aman,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

The post Bunuh pemandu Grab Aiman Nosri, dua lelaki warga asing dihukum gantung sampai mati appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar