-->

‘Anak saya masih hidup ketika itu’ – Bapa mahu kebenaran disebalik kematian Dea Maisarah dirungkai

Bada Hussein, 48, menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan sebenar mengenai kematian anaknya, Dea Maisarah Bada, 10, semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Menurut Bada, tindakan pihak hospital berkenaan pengelasan anaknya sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital (Brought in Dead atau BID) dalam sijil/permit pengebumian adalah tidak masuk akal.

Ini kerana anaknya masih hidup semasa mereka datang ke hospital itu. Malah Bada menegaskan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran di kaunter.

“Anak saya masih hidup ketika itu, dengan saya ada bukti termasuk resit pembayaran. Ramai juga mempersoalkan supaya saya reda, memang reda tetapi amar maaruf dan nahi mungkar. Kejahilan kita cegah.

“Saya mahu pembohongan ini dibongkar, kita mahukan keadilan,” tegasnya memetik laporan daripada Harian Metro.

Peguam yang mewakilinya, Hafiz Norkhan berkata, pihak berkuasa perlu telus dan serius menyiasat kes tersebut. Ini kerana insiden yang menimpa arwah Dea Maisarah itu adalah satu isu yang besar.

Dalam masa sama, Hafiz juga mendapat arahan untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap HTAR dan Kementerian Kesihatan.

Semua pihak perlu bertenang

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya masih menunggu laporan polis berhubung kematian Dea Maisarah yang didakwa berlaku akibat kecuaian daripada pihak HTAR.

Beliau meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang untuk siasatan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

“Saya tak nak cakap lebih-lebih kerana kes itu sudah menjadi kes polis sebelum tindakan dilakukan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Anak saya masih hidup ketika itu’ – Bapa mahu kebenaran disebalik kematian Dea Maisarah dirungkai appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar