-->

Sanusi dakwa Pulau Pinang milik Kedah tapi pakar kata sewaan telah lama terbatal

Sebelum ini, timbul kekecohan apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengatakan bahawa Pulau Pinang adalah hak milik negeri tersebut.

Jelasnya juga, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Susulan itu juga, beberapa orang Ahli Parlimen telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Sultan Kedah titah isu pajakan Pulau Pinang diperjelaskan

Isu ini bukan sahaja telah diperbahaskan di parlimen. Malahan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga telah menzahirkan harapan agar isu berkaitan sejarah Kedah terutamanya pajakan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu. Sebaliknya dibincangkan demi rakyat itu.

Sultan Salahuddin bertitah, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

Sewaan terbatal selepas PPTM 1948 ditandatangani

Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menjelaskan isu sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

“Berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.

“Selepas Pulau Pinang dikuasai oleh British, ia sudah menjadi satu perkara yang sah dan sewaan diteruskan sehingga terbentuknya PPTM 1948.

“Menerusi perjanjian tersebut, Pulau Pinang telah dimasukkan ke dalam PPTM sebagai negeri bebas daripada jajahan takluk British,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila mencapai kemerdekaan, sekali lagi perjanjian di antara British dan Pulau Pinang dibuat menjadikan negeri itu berdaulat. Sebaik sahaja negeri itu ada kedaulatan rasmi, secara tidak langsung isu sewaan di antara Pulau Pinang dan Kedah tidak lagi timbul dan terbatal.

Pulau Pinang negeri berdaulat

“Sudah menjadi lumrah apabila satu perjanjian baharu dibuat, maka persetujuan terdahulu itu secara automatik terbatal.

“Sewaktu membentuk Malaysia, Pulau Pinang dianggap sebagai salah satu negeri yang berdaulat walaupun tiada raja yang memerintah.

“Sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan, British melepaskan Pulau Pinang. Melalui surat penyerahan semula kepada orang tempatan (penduduk Pulau Pinang) dan menjadikan gabenor sebagai ketua mereka.

“Sejarah terjadi sebelum PPTM 1948, PPTM 1963 dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh berlaku semula dan akan kekal menjadi kisah lampau,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

The post Sanusi dakwa Pulau Pinang milik Kedah, tapi pakar kata ‘sewaan’ telah lama terbatal appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar