-->

Pemimpin Bersatu selar tindakan MPKB kompaun wanita bukan Islam pakai seluar pendek

Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita bukan Islam hanya kerana memakai seluar pendek di tempat awam, diselar oleh pemimpin Bersatu.

Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif menegaskan, tindakan MPKB itu adalah terpesong dan menyalahi undang-undang serta terbatal.

Ini kerana tindakan tersebut melebihi kuasa yang diberikan kepada majlis di bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat undang-undang kecil.

“Seksyen 102 hanya membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan undang-undang kecil berkaitan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tiada kuasa diberikan untuk mengawal pakaian atau moral,” tegasnya.

Sasha menggesa MPKB membatalkan kompaun tersebut. Termasuk menggantung penguatkuasaan Seksyen 34(2)(b) untuk seketika, sementara menunggu semakan oleh pihak berkuasa negeri atau exco.

Semalam, heboh di media sosial seorang wanita bukan beragama Islam yang juga pemilik perniagaan mendakwa dia telah dikompaun oleh MPKB kerana memakai seluar pendek di tempat awam.

MPKB melalui Facebook turut menjelaskan bahawa anggota penguatkuasanya bertindak berlandaskan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“…pemegang lesen perniagaan hendaklah memastikan dirinya dan pekerjanya berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan aktiviti.”

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin turut menjelaskan bahawa undang-undang itu telah lama berkuatkuasa. Ia juga terpakai untuk rakyat Kelantan yang bukan beragama Islam.

Sumber: MalaysiaKini

The post Pemimpin Bersatu selar tindakan MPKB kompaun wanita bukan Islam pakai seluar pendek appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar