-->

Pegawai Kanan Polis ugut orang awam telah dipanggil ke IPD Gombak untuk siasatan

Lagi perkembangan mengenai kes pegawai kanan polis yang tular di media sosial. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya menerima laporan dari orang awam yang mendakwa diugut oleh pegawai yang sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam di sebuah kedai makan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, pengadu (orang awam) mendakwa dia didatangi oleh wanita berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai penjawat awam.

Dia kemudian memarahi pengadu dengan nada suara yang tinggi kerana dikatakan membuang bising di rumah jiran. Malah pengadu mendakwa dia diugut dan suspek juga memarahi orang ramai yang berada di lokasi kejadian itu.

Pada ketika ini, polis sedang menyiasat dua rakaman video yang ditularkan di media sosial. Suspek telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar menasihatkan orang ramai tidak terus menularkan video tersebut. Termasuk memberi komen-komen yang keterlaluan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, suspek didakwa menengking dan menghina dua anggota bawahan yang meminta kad pengenalannya untuk diperiksa. Sedangkan dua anggota berkenaan hanya menjalankan tugas selepas mendapat arahan daripada pusat kawalan Gombak.

Suspek dilaporkan tidak mahu memberi kerjasama dan bertindak menengking dua anggota berkenaan yang dikatakan tidak layak bercakap dengannya kerana perbezaan pangkat.

Sumber: Harian Metro

The post Pegawai Kanan Polis ugut orang awam, telah dipanggil ke IPD Gombak untuk siasatan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar