-->

Lelaki mengamuk sebab berang mangsa tak sudi memanggilnya ‘baby’, ‘abang’

Lelaki yang mengamuk dalam sebuah restoran di Putra Height, Subang Jaya dalam video tular semalam, rupa-rupanya bengang dipanggil dengan gelaran pakcik, berbanding ‘baby’ atau ‘abang’.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi.

Suspek lelaki warga tempatan meminta pekerja restoran (lelaki) memanggilnya dengan nama gelaran abang atau baby. Namun pekerja berkenaan tetap memanggilnya ‘pakcik’ membuatkan suspek bengang dan mengamuk serta membaling makanan.

“Selepas mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan, suspek terus bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun serta mengugut akan merosakkan harta benda serta membuat kacau.

“Suspek turut membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran,” katanya.

Selain itu, suspek menendang meja dan mencampak beberapa kerusi membuatkan beberapa pelanggan lain yang sedang makan di premis itu ketakutan.

Difahamkan, pemilik restoran membuat laporan hari ini setelah video itu tular di media sosial. Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau pernah berjumpa dengan suspek diminta menyalurkan maklumat tersebut kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 0378627100 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan.

Sumber: Harian Metro

The post Lelaki mengamuk sebab berang mangsa tak sudi memanggilnya ‘baby’, ‘abang’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar