-->

Amir Shafiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera anak teman wanitanya sehingga lebam dan berbirat

Seorang lelaki yang ditahan polis atas pertuduhan mendera anak teman wanitanya sehingga lebam di bahagian muka dan berbirat di seluruh badan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Tertuduh, Amir Shafiq Shuaimy, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Amir Shafiq didakwa mendera mangsa berusia setahun 11 bulan dengan memukul bayi itu menggunakan tangan dan penyangkut baju. Kejadian tu berlaku di sebuah rumah di Desa Rejang, Setapak antara 4 hingga 7 Jun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan. Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar jumlah jaminan dikurangkan. Ini kerana dia perlu menanggung empat anak dan isterinya yang sedang mengandung anak kelima.

Hakim Izralizam kemudian membenarkan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM16,000 dengan dua penjamin dan tarikh 11 Julai untuk sebutan semula kes.

Turut didakwa di Mahkamah Majistret, ibu kepada mangsa yang berusia 17 tahun itu atas pertuduhan melakukan penderaan dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan sehingga cedera pada tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut dan Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 kerana masih bawah umur. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Julai untuk menjatuhkan hukuman.

Sumber: Kosmo! Online

The post Amir Shafiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera anak teman wanitanya sehingga lebam dan berbirat appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar