-->

‘Tak sangka, rupanya itu petanda dia tinggalkan kami’ – Budak 5 tahun maut digilis lori semasa bermain di luar rumah

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat digilis lori semasa bermain di luar rumahnya dalam kejadian di Kampung Paya Mengkuang, Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.25 petang dan mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian adalah, Nur Qasya Quraisya Muhamad Qayyum.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku di simpang tiga dan ketika itu mangsa sedang bermain dengan saudaranya si kawasan tersebut dan bersembunyi di celah-celah pokok.

Dalam masa sama, sebuah lori berada di simpang tersebut dan bersedia untuk keluar. Selepas memastikan laluan kiri dan kanannya selamat, pemandu meneruskan perjalanan.

Secara tiba-tiba mangsa keluar dari celah pokok dan berlari ke arah lori yang sedang bergerak. Pemandu lori terkejut dan tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu terlanggar mangsa.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Pemandu lori berusia 37 tahun terbabit turut disoal siasat dan dibawa ke hospital yang sama untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah dalam badan.

Sementara itu bapa mangsa, Muhamad Qayyum, Abdul Aziz, 37, berkata, mangsa sebelum itu ada datang meminta 20 sen daripadanya untuk membeli aiskrim.

“Selang beberapa minit kemudian, saya dikejutkan dengan bunyi riuh lalu berlari ke tempat kejadian dan mendapati anak sudah dilanggar lori pasir,” katanya.

Seminggu yang lalu, Nur Qayra menunjukkan banyak perubahan tingkah lakunya di mana dia kerap meminta hajatnya ditunaikan dengan cara yang berbeza dan menguji kesabaran bapanya.

“Sebelum ini dia tak begitu. Tapi sejak saya bercuti seminggu dan meluangkan masa dengannya, sikap dia agak mendesak sedikit dan terlebih manja.

“Beberapa hari lalu ketika makan di sebuah restoran di Klebang, tiba-tiba dia merajuk apabila tidak dilayan. Namun saya tidak memarahinya. Saya tak sangka rupanya itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Muhamad Qayyum berharap meminta orang ramai mendoakan kebaikan untuk anaknya. Jenazah Nur Qayra telah selamat dikebumikan di Kampung Padang, Malim, tengah malam kelmarin.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Tak sangka, rupanya itu petanda dia tinggalkan kami’ – Budak 5 tahun maut digilis lori semasa bermain di luar rumah appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar