-->

'Sudah-sudahlah, sampai bila rakyat perlu tanggung keadaan sebegini?' - Sultan Ibrahim tegur ahli politik



Walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 sudah lama berlalu, namun pelbagai isu yang timbul. Melihat senario ini juga, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyuarakan kebimbangan baginda dengan desas-desus berhubung kestabilan kerajaan yang terus kedengaran.


Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.


"Rakyat menaruh harapan tinggi dalam PRU-15 lalu dan memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.


"Namun, sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.


"Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.


"Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.


Beliau dilaporkan turut menyifatkan angka '126' yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook, sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.


"Saya kira, angka ini signifikan hingga ramai cyber troopers prokerajaan meroyan di laman Facebook saya. Saya fikir pihak sebelah sana (Kerajaan Perpaduan) pun tahu kebenarannya," katanya.


Dr Muhammad Faiz memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis '126 dah…jika benar Alhamdulillah'.


Hantaran itu menimbulkan persoalan dengan ada yang mengaitkan angka itu sebagai jumlah Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.


Beliau bagaimanapun terus mengunci mulut sama ada angka berkenaan merujuk kepada jumlah Ahli Parlimen atau sebaliknya.


Sementara itu juga, menurut satu sumber, Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti. 


Sumber: Harian Metro, Free Malaysian Today



LihatTutupKomentar