-->

Siti Bainun dihukum penjara 12 tahun, peguam merayu mahkamah kenakan hukuman ringan kerana saiz badan & kesihatan



Peguam kepada Siti Bainun, Mohamad Farhan Maaruf meminta mahkamah untuk mempertimbangkan hukuman denda terhadap tertuduh.


Mahkamah Sesyen perlu mempertimbangkan faktor saiz badan dan tahap kesihatan pengasas Rumah Bonda itu dalam mengenakan hukuman  terhadap kesalahan mendera remaja sindrom Down, Bella.


Malah katanya, pembelaan mahu tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah insaf selain ia kesalahan pertamanya.


“Saya rayu, mahkamah pertimbangkan kecederaan yang dialami oleh Bella, hanya melibatkan kedua belah tangan dan seluruh badan yang terlibat merupakan parut yang telah sembuh.


“Ini menunjukkan Siti Bainun bukan insan yang kejam dan dia cuba baik mungkin untuk menjaga Bella.


“Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya,” kata peguam itu sewaktu mengemukakan rayuan.


Peguam itu berkata, hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang. 


Selain itu, beliau juga memohon mahkamah mempertimbangkan kerja sosial Siti Bainun dalam bidang kebajikan dan kesukarelawan


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana pertuduhan terhadap Siti Bainun adalah serius.


“Hampir keseluruhan badan Bella, mengalami luka lecur dan terdapat beberapa parut yang mana ia akan kekal seumur hidupnya.


“Ia bukan sahaja mengundang kecederaan fizikal malah mahkamah perlu menjatuhi hukuman ke atas tertuduh kerana ia menjejaskan emosi mangsa,” katanya.


Justeru, beliau mahu mahkamah mengambil kira kepentingan awam mengatasi faktor lain dalam mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh termasuk kepentingannya sendiri.


Kata beliau, mahkamah patut menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman bagi mencegah tertuduh melakukan jenayah berulang kali, selain mengelak mesej disampaikan kepada masyarakat bahawa kesalahan itu adalah ringan.


Hakim Izralizam Sanusi menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama dan 12 tahun penjara bagi tuduhan kedua dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.


Sumber: Utusan, Harian Metro



LihatTutupKomentar