-->

'Siapa tak sedih, kami dah 28 tahun berkahwin' - Madu Miera Liyana enggan bercerai, mahu pertahankan rumah tangganya



Madu kepada pelakon Miera Liyana, Adibah Abdul Mutalib tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak 28 tahun lalu bersama suaminya, Rosland Othman.


Sebelum ini media ada melaporkan, Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan Miera pada Julai 2020.


Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan Rosland dan isteri pertama, Adibah merujuk JKP bagi menangani krisis rumah tangga mereka.


Adibah yang ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) berkata, dia melantik abang sulungnya, Azman Abdul Mutalib, 57, bagi proses berkenaan.


"Abang sulung mewakili saya untuk JKP, hari ini. Saya meneruskan proses ini sebab saya bukan di pihak yang salah, jadi saya tak bersetuju untuk bercerai.


"Saya akui Rosland terkejut kami meminta proses ini, malah untuk berbincang dengan baik pun pihak sana tidak terima.


"Saya sudah buat macam-macam dan berusaha segala yang saya mampu. Jujurnya, siapa yang tidak sedih sebab kami sudah berkahwin selama 28 tahun.


"Jadi tengoklah apa yang berlaku selepas JKP ini. Saya hanya boleh cuba menyelamatkan apa yang saya mampu.


Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan apa diputuskan jabatan agama ini sebab kita tahu pihak lelaki yang ada kuasa, saya hanya boleh buat semampu boleh," katanya.


Adibah turut ditemani peguam syarie mewakili Adibah, Mohd Junid Ramli berkata, dia dan Rosland yang juga suami pelakon Miera Leyana sudah dua tahun tidak menyambut Aidilfitri bersama.


"Kali terakhir Rosland balik rumah pada September 2021, jadi saya tidak menafikan sedih tidak beraya bersama sebab ia memang kebiasaan kami meraikan Syawal bersama.


"Tak pernah kami tak meraikan Aidilfitri bersama. Dan ini adalah tahun kedua kami tidak bersama kerana Rosland masih pulang pada 2021," katanya.


Tambah Adibah, suaminya bertindak mengambil anak keempat, Nur Anisa tanpa pengetahuannya dan kini tinggal bersama Rosland, manakala anaknya yang lain masih menetap dengannya.


"Dia mengambil anak keempat dari sekolah pada Februari lalu dan sejak itu, mereka tinggal bersama.


"Rosland masih berstatus suami, jadi saya tiada masalah untuknya menjaga anak. Cuma, saya harap dia akan terus jalankan tanggungjawab," katanya.


Sumber: Berita Harian



LihatTutupKomentar