-->

Saguhati RM10K untuk Ahli Lembaga Pengarah, AKSB minta semua pihak padam & jangan sebar dokumen sulit

Tular di media sosial hari ini surat edaran syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang memaklumkan cadangan pemberian saguhati sempena Hari Raya 2023 kepada kakitangannya.

Berdasarkan surat itu, kesemua Ahli Lembaga Pengarah AKSB menerima saguhati sebanyak RM10,000, kakitangan RM200 dan Setiausaha syarikat RM2,000.

Pemberian saguhati itu mengundang pelbagai persepsi netizen khususnya mereka yang berasal dari negeri berkenaan yang sudah sekian lamanya menghadapi masalah bekalan air bersih.

Bagaimanapun, Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, dokumen sulit itu tidak sepatutnya disebarkan dan tindakan menyebarkan dokumen berkenaan adalah merupakan sat kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Wartawan jangan terbabit dengan kesalahan itu, minta padam,” katanya menerusi WhatsApp.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pemberian saguhati itu hanya berlaku setahun sekali dan ia adalah merupakan prosedur biasa bagi menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberi pandangan dan keputusan dasar kepada pihak pengurusan.

Tambahnya, sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota profesional dan tiada jawatan dalam parti politik.

Mengulas mengenai perbezaan jumlah saguhati, Mohamad Kamal berkata perkara itu tidak patut dibangkitkan. Dia meminta AKSB menyiasat kebocoran dokumen berkenaan dan mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan.

Sumber: Harian Metro

The post Saguhati RM10K untuk Ahli Lembaga Pengarah, AKSB minta semua pihak padam & jangan sebar dokumen sulit appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar