-->

Masalah bekalan air di Kelantan akan selesai jika diberi peruntukan RM5.03 bilion – AKSB

Rakyat di negeri Kelantan menghadapi masalah bekalan air sejak puluhan tahun yang lalu dan sehingga kini tiada jalan penyelesaiannya. Namun, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, masalah itu boleh ditangani sekiranya pihaknya mempunyai sumber kewangan berjumlah RM5.03 bilion.

Pengurus besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi berkata, jumlah RM5.03 bilion itu berpandukan kepada Pelan Induk (2021-2030) yang telah disediakan oleh pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu.

“Jumlah itu merangkumi program pengurusan air tidak terhasil berjumlah RM1.7 bilion, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai RM2.1 bilion), pembinaan loji rawatan air mini RM120 juta, pembinaan loji rawatan air baharu RM740 juta, menaik taraf loji rawatan air sedia ada RM300 juta dan pengurusan aset RM70 juta,” katanya.

Menurut Nazmi Ghazali, jika kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air sedia ada berjalan dengan lancar, ia mampu meningkatkan kapasiti air dari 153 hingga 330 juta liter sehari yang melibatkan 12 loji rawatan air yang sedia ada pada ketika ini.

Dengan pembinaan loji rawatan air yang baharu pula dilihat bakal menjadi salah satu jalan penyelesaian kepada masalah bekalan air di negeri itu.

Ketika ini, sungai menjadi sumber bekalan air mentah di Kelantan apabila menyumbang sebanyak 47 peratus, diikuti tapisan sungai 29 peratus dan air tanah 24 peratus.

Dalam pada itu Nazmi Ghazali berkata, masalah bekalan air terawat yang berlaku pada masa ini di Kelantan adalah berpunca daripada beberapa perkara iaitu kuantiti tidak cukup, tekanan rendah, kuantiti rendah dan agihan tidak cekap.

Sumber: Sinar Harian

The post Masalah bekalan air di Kelantan akan selesai jika diberi peruntukan RM5.03 bilion – AKSB appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar