-->

Mahkamah dapati Siti Bainun bersalah, abai & aniaya Bella



Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.


Menerusi laporan Astro Awani, Hakim Izralizam Sanusi dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh bukan sahaja tidak dapat dipercayai atau diterima, malah ia gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


"Oleh yang demikian, secara keseluruhan saya memutuskan pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan dengan itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika membacakan keputusan di sini, pada Rabu.


Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi.


Saksi-saksi pendakwaan yang hadir ialah Bella sendiri selaku saksi pendakwaan (SP) ke-18; SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; SP-17, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; SP-1, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.


Pada 24 November tahun lalu, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri atas dua pertuduhan berkenaan.


Selepas memanggil lapan saksi, pihak pembelaan Siti Bainun menutup kesnya pada 9 Mac lalu.


Antara saksi yang hadir membela Siti Bainun ialah saksi pembelaan (SD) ketiga, rakan pengasas Rumah Bonda; Pegawai Tadbir, Noor Marliana Ramlee dan SD-6, Engku Farah Hanis Abdul Jalil serta SD-8, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.


Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.


Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.


Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu.


Sumber: Astro Awani



LihatTutupKomentar