-->

Filem Mrs Chatterjee vs Norway tular, netizen persoalkan undang-undang Norway, TikToker ‘KakakNorway’ beri penjelasan

Baru-baru ini telah ditayangkan di Netflix sebuah filem yang penuh dramatik tentang usaha dan pengorbanan seorang ibu yang berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya dari dirampas.

Mrs Chatterjee vs Norway yang dibintangi oleh Rani Mukerji, Anirban Bhattacharya, Neena Gupta, dan Jim Sarbh merupakan sebuah filem adaptasi dari kisah benar.

Filem ini menceritakan kisah sepasang suami isteri warga India yang mempunyai dua orang anak. Sagarika Chatterjee (Rani Mukerji) dan suaminya, Anup Chatterjee (Anirban Bhattacharya) telah berpindah ke Norway untuk mencari pekerjaan.

Semasa tinggal di sana, timbul beberapa isu yang membuatkan pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak Norway mengambil hak penjagaan ke atas anak-anak mereka. Beberapa pertuduhan dikenakan ke atas mereka seperti memberi makan anak-anaknya dengan tangan, tidur bersama dengan anak, masalah mental dan sebagainya.

Setelah melalui pelbagai rintangan, akhirnya dia berjaya mendapatkan hak penjagaan mutlak ke atasnya.

Filem ini telah menjadi tular di media sosial. Susulan itu juga netizen tertanya-tanya adakah benar undang-undang yang telah dikuatkuasakan di negara Norway begitu.

Seorang wanita rakyat Malaysia yang tinggal di sana menerangkan keadaan tersebut. Katanya, dia juga mempunyai pengalaman yang sama, didatangi oleh pihak berkuasa kebajikan tentang penjagaan anak dan masalah anaknya direkodkan. Anaknya dibawah penjagaan pusat terbabit selama lima minggu.

“Bila kita dah berada di negara tu, kita kenalah ikut apa yang termaktub di dalam negara mereka.

“Sebagai pendatang kita digalakkan ambik inisiatif untuk belajar bahasa Norway, kedua kenali sejarah dan budaya, cuba berkawan dengan orang Norway dan skandinavia, aktif dengan aktiviti sukarelawan seperti rodekors.

“Sebagai ibu bapa juga, wajib bekerjasama membantu dalam membesarkan anak-anak, menyertai aktiviti sekolah, mesyuarat dan bergilir-gilir hantar anak ke sekolah,” katanya.

Katanya lagi jika ibu bapa menggunakan kekerasan cara membesarkan anak, Norway bukan negara yang patut mereka jejaki kerana Norway menggunakan cara psikologi bercakap dengan anak.

Walaupun dilihat seperti undang-undang ini menzalimi ibu bapa tetapi secara tidak sedar sebenarnya undang-undang negara itu membawa banyak kebaikan. Menerusi satu komen yang dikongsikan, katanya di negara skandinavia mereka amat menitikberatkan soal hak asasi manusia dan kebajikan kanak-kanak.

“Pembinaan sahsiah anak bermula dari rumah dan pembentukan negara aman dan bahagia bermula daripada keluarga. Negara-negara ini juga merupakan negara yang berstatistik dan negara yang memiliki penduduk paling bahagia di dunia,” tulis K Davidson Lee.

Sumber: TikTok KakakNorway

The post Filem Mrs Chatterjee vs Norway tular, netizen persoalkan undang-undang Norway, TikToker ‘KakakNorway’ beri penjelasan appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar