-->

Dakwa filem Anwar disabotaj, Kementerian Komunikasi akan jalankan siasatan

Beberapa hari lalu, Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff mendakwa ada segelintir pawagam yang menstabotaj filem Anwar: The Untold Story berikutan tidak banyak slot yang diberi.

Beliau mendakwa, pihaknya menerima banyak aduan dari orang awam yang mengatakan mereka tidak dapat menonton filem biopik tersebut kerana tiada slot tayangan yang ketika ini banyak dikuasai oleh filem antarabangsa.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan menyiasat dakwaan itu.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, semua aspek dakwaan Datuk Mohamed Yusoff itu akan diteliti sebelum siasatan segera dilakukan.

Setakat ini, KKD belum menerima sebarang maklum balas daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Malaysia berhubung perkara itu.

“KKD akan buat siasatan sama ada tuduhan itu adalah benar atau sebaliknya. Namun saya percaya, lagi ramai penonton yang berminat menyaksikan filem ini, sudah tentu lagi banyak slot tayangan dan pawagam akan tayangkan filem ini,” katanya.

Filem Anwar: The Untold Story adalah filem yang mengisahkan perjuangan Anwar Ibrahim berlatarkan masa antara tahun 1993 hingga 1998 berdurasi 108 minit, yang dilakonkan semula oleh Farid Kamil dan Acha Septriasa.

Sumber: Harian Metro

The post Dakwa filem Anwar disabotaj, Kementerian Komunikasi akan jalankan siasatan appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar