-->

'Mungkin dulu saya ikut perintah suami, namun kini tiba masa untuk saya kejar cita-cita' - Nurul Shuhada berhasrat sambung belajar di luar negara



Baru-baru ini, isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri meluahkan hasrat untuk menyambung pengajiannya di luar negara.


Nurul Shuhada yang lebih gemar dipanggil sebagai Shu berkata, dia kini sedang menunggu kelulusan permohonan biasiswa. Walaupun sedang hamil dan perlu menjaga dua anaknya iaitu Humairah dan Umar, Shu enggan menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk mengejar impiannya. 


Bagi Shu, sudah tiba masanya untuk mengejar kemahuannya yang sudah sekian lama tertangguh. 


"Mungkin dulu saya mengikut perintah suami, namun kini tiba masanya saya ingin mengejar cita-cita yang sudah lama tertangguh. Malah, sekiranya permohonan untuk mendapatkan biasiswa lulus, saya akan bawa anak-anak bersama. 


"Rakan-rakan yang mengenali saya dulu, pasti akan ingat bagaimana saya sedang hamil membawa perut ke kelas. Jadi, saya meletakkan hasrat untuk membuat sesuatu, pastinya saya nekad," katanya memetik laporan daripada Harian Metro, 25 April lalu. 


Tambah ibu kepada dua anak itu, dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang untuk belajar sekiranya diberi dan andai kata ada yang mahu menaja, dia menerimanya dengan tangan terbuka. 


Difahamkan, Shu bersama-sama anaknya kini menetap di Perlis dengan ibu bapanya di kampung. Dengan kehadiran adik-beradiknya, Shu berasa lebih selamat. 


Mengenai konflik rumah tangganya, dalam temubualnya bersama Hlive yang disiarkan di Astro Ria baru-baru ini, Shu beranggapan apa yang berlaku ada hikmahNya. 


"Allah nak tegur Shu. Allah kata, janganlah kau lebihkan orang lain daripada Aku. Aku nombor satu. Janganlah kau fikir, 'Ya Allah, sayangnya aku pada hambaMu ini. Aku tak boleh nak tinggalkan dia'. 


"Sayang sangat pada insan ini, sampai melebihi sayang Shu kepada Allah, macam tu. Maksudnya, ambil pengajaran dalam kisah Shu ini, janganlah menyayangi hamba Allah ini melebihi daripada penciptaNya. 


"Itu yang mendorong Shu membuat keputusan ini bukan untuk diri Shu, bukan juga untuk anak-anak, tetapi untuk memperbaiki diri Shu," katanya. 


Sumber: Harian Metro, HLive



LihatTutupKomentar