-->

'Alhamdulillah semuanya dipermudahkan' - Gagal berdamai, Puteri Sarah & Syamsul Yusof bersetuju untuk bercerai secara baik



Gagal mencapai jalan penyelesaian untuk menangani masalah rumah tangga yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu, pelakon Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana akhirnya bersetuju untuk bercerai secara baik. 


Peguam kepada Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan, anak guamnya dan suaminya semalam telah bertemu sebelum hadir ke mahkamah pagi ini bagi mengetahui keputusan rundingan Jawatankuasa Pendamai (JKP). 


Dalam pertemuan itu, Syamsul dan Puteri Sarah dikatakan telah bersetuju untuk berpisah secara baik, memandangkan usaha untuk berdamai yang dilakukan melalui JKP itu tidak berjaya. 


Memandangkan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas telah menetapkan 18 April ini untuk kedua-dua belah pihak merekodkan terma berpisah secara baik. 


Puteri Sarah ketika ditemui media juga memanjatkan rasa bersyukur kerana penderitaan yang ditanggungnya sejak sekian lama akhirnya dapat diselesaikan. 


"Alhamdulillah, kami dah berjumpa dan berbincang semua terma dan syarat, apa yang Sarah nak, apa yang dia nak, berkenaan anak-anak, nafkah semua. Jadi semalam kita selesaikan semuanya. 


"Alhamdulillah berkat bulan Ramadan, semuanya dipermudahkan dan masing-masing boleh move on dengan tenang. 


"Akhirnya, Alhamdulillah semuanya selesai. Tak payah pening-pening lagi dah. 18 April ini, kita nak selesaikan sebelum raya. Dia pun dah malas nak panjang-panjangkan dan nak selesaikan juga. Alhamdulillah, semuanya settle," katanya. 


Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata dia sudah bersedia untuk menyambut hari raya dengan status barunya itu dengan gembira dan tenang di sisi anak-anaknya. Apa yang penting, dia tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa. 


"Sambutan raya Sarah akan lebih happy dan tenang dan kita tak adalah bermusuh. Yang penting Sarah tak nak bermusuh dan berdendam, itu sahaja. 


"Kalau Syamsul beri kerjasama, Sarah pun akan beri kerjasama. Tak ada pun yang nak bermusuhan. Semuanya dah selesai, akan terus berkawan baik demi anak-anak," katanya. 


Sumber: mStar Online



LihatTutupKomentar