-->

'Port plastik hitam rupanya' - Peniaga sorok makanan dalam tandas & mesin basuh kerana takut dicekup



Tiada rasa bersalah dan langsung tidak menghormati bulan penuh mulia, seorang wanita yang juga seorang peniaga berusia 40 an  diberikan amaran kerana menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa. 


Memetik laporan Harian Metro, peniaga ini sanggup menyembunyikan lauk dalam tandas dan nasi bungkus dalam mesin basuh. Tindakan tersebut dikesan dalam operasi di Tangok dekat Bachok, semalam.


Dalam operasi cegah orang tidak berpuasa oleh Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok antara 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, berjaya merampas lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam bersama teh O ais.


Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, hasil pemantauan pihaknya dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.


"Hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap di dalam tandas,” katanya.


Selain daripada bungkusan makanan, pihak mereka juga menemui bungkusan teh o ais yang disembunyikan di dalam bilik tidur.


"Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.


"Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa," katanya.







Suratemi berkata, pihaknya memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan wanita itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit pada masa akan datang.


Beliau berkata, wanita itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.


"Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.


"Kita menasihatkan kepada semua terutama orang Islam supaya tidak makan dan minum di waktu siang di tempat yang terbuka pada bulan ini dan menghormati orang berpuasa," katanya.


Sumber: Harian Metro



LihatTutupKomentar