-->

‘Pemandu Vios QCJ merah ada masalah pendengaran’ – Polis Bintulu

Susulan tular video sebuah kereta menghalang laluan ambulans di Bintulu, Sarawak, polis telah berjaya mengesan pemandu Toyota Vios QCJ 2629 berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supritendan Batholomew Umpit berkata, pihaknya mengesan video tular sebuah kenderaan tidak memberi laluan kepada ambulans dalam kejadian di Tanjung Kidurong, jam 4.42 petang Selasa.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kemudian mengesan pemandu berkenaan, sebelum mengeluarkan saman terhadapnya di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59, kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans bersiren bergerak terus.

Siasatan mendapati, lelaki warga emas berusia 74 tahun itu mempunyai masalah pendengaran. Ketika kejadian, alat bantuan pendengarannya tidak berfungsi dengan baik.

Justeru, polis menasihati pengguna jalan raya memberi laluan kepada kenderaan seperti ambulans, polis dan bomba apabila siren amaran diaktifkan.

Terdahulu tular video sebuah kereta Toyota Vios berwarna merah yang didakwa tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang sedang dalam perjalanan menghantar pesakit kes ‘red zone’ yang memerlukan rawatan segera di hospital.

Sumber: PDRM Bintulu

The post ‘Pemandu Vios QCJ merah ada masalah pendengaran’ – Polis Bintulu appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar