-->

Lelaki meninggal dunia selepas cabut dua batang gigi

Seorang lelaki berusia 23 tahun di China dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan intrakranial yang disebabkan oleh prosedur pencabutan dua batang gigi.

Wang, yang berasal dari Hunan, terdahulu pergi ke Hospital Rakyat Kuiyong di Shenzhen untuk mendapatkan rawatan gigi.

Tiba-tiba rebah

Selepas diperiksa, doktor gigi memaklumkan dua batang gigi perlu dicabut dan Wang bersetuju dengan saranan tersebut.

Selepas prosedur itu, Wang diminta untuk melakukan imbasan sinar-X gigi, tetapi ketika dia bangun dari kerusi, Wang secara tiba-tiba terjatuh ke lantai dan tidak sedarkan diri.

Wang segera diberikan rawatan kecemasan. Doktor kemudian mengesahkan Wang mengalami pendarahan intrakranial, selepas menjalani prosedur pencabutan dua batang giginya.

Wang terpaksa menjalani pembedahan kecemasan (kraniotomi). Selepas 14 hari berada dalam keadaan koma, Wang disahkan telah meninggal dunia disebabkan kegagalan organ.

Tuntut pampasan RM1.2 juta

Kematian lelaki muda ini mengejutkan negara dan keluarganya kini sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital terbabit. Mereka mendakwa kakitangan hospital telah melakukan kecuaian yang menyebabkan kematian Wang.

Bagaimanapun, pihak hospital tampil mempertahankan diri dan menegaskan doktor giginya tidak melanggar protokol dan peraturan rawatan. Malah mereka enggan membayar jumlah pampasan yang dipinta oleh keluarga Wang sebanyak 1.8 juta yuan (RM1.2 juta) dan hanya bersetuju membayar pampasan 600,000 yuan (RM402K) sahaja.

Bimbang bukti akan dimusnahkan jika Wang dikebumikan, jenazah lelaki berusia 23 tahun itu telah disimpan di rumah mayat sejak lima bulan lalu.

Kes tersebut masih dalam siasatan.

Sumber: Oddity Central

The post Lelaki meninggal dunia selepas cabut dua batang gigi appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar